Selasa, 23 Jun 2009

Mekah pusat bumi dan ibadat


Oleh IBRAHIM ABDULLAH


MEKAH atau juga disebut Bakkah, tempat di mana umat Islam melaksanakan ibadah haji dan umrah terbukti sebagai tempat yang pertama diciptakan Allah SWT dan sebagai pusat bumi. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Adalah sama tengah bumi itu ialah kaabah".


Dari tanah itulah Allah SWT menjadikan dada Nabi Adam a.s. Bahawa yang pertama berada pada Kaabah Allah itu para malaikat, kemudian dijadikan Adam selama 2,000 tahun sebelumnya.


Kemudian daripada itu para malaikat itu selalu memakmurkan Kaabah Allah itu dengan beramal kepada-Nya, sebelum Nabi Adam dijadikan oleh Allah SWT.


Selepas itu Allah dengan kehendak- Nya untuk menjadikan Adam di syurga. Kemudian Allah memerintahkan untuk turun ke bumi ini, dengan segala hikmah-Nya.


Maka turunlah Nabi Adam di sebuah pulau Sarandip, dan setelah dikurniakan Allah pada suatu tingkat di syurga, kemudian Allah berfirman maksudnya: "Wahai Adam, berjalanlah engkau", Maka ia pergilah berjalan sehingga sampai pada negeri Hindi/India. Setelah itu kemudian berdiamlah Nabi Adam di sana pada jangka waktu berselang lamanya.


Maka Nabi Adam merasa berdukacita dan kemudian Allah berfirman maksud-Nya: "Wahai Adam, pergilah menunaikan haji kepada Kaabah Allah. Maka pergilah Nabi Adam, dan setiap bekas jejak kakinya itu menjadi hutan rimba dan padang luas/gurun, sehingga tibalah Nabi Adam di Mekah serta bertemulah dengan para malaikat, seraya malaikat itu berkata: "Wahai Adam, berbahagialah haji tuan hamba, dan kami ini sudah sejak 2,000 tahun yang lalu mengerjakan haji pada kaabah ini.


Maka Nabi Adam berkata kepada malaikat itu: "Bagaimana bacaan pada waktu tawaf itu? Jawab malaikat itu kami membaca tasbih sebagai berikut: Subahanallahi wal-hamdulillahi wa la ila ha illallahu wallahu akbar.


Kemudian Nabi Adam bertawaflah di kaabah itu, serta membaca tasbih kepada-Nya dan Nabi Adam mengerjakan haji setiap tahun sekali dan seterusnya semasa hidupnya itu.


Pada riwayat Ibnu Abbas r.a menyebutkan: "Ketika Allah SWT menurunkan Nabi Adam AS ke bumi, maka Allah berfirman maksud-Nya: Wahai Adam, buatkanlah sebuah istana-Ku, kemudian Nabi Adam membuat/membina Kaabah atau Baitullah al-Haram untuk mematuhi atas perintah-Nya.


Kemudian setelah itu kaabah dibina dengan lima buah batu bukit.


Pertama, bukit Tursina, kedua, bukit Hira’, ketiga, bukit Uhud, keempat, bukit Juddi dan kelima, bukit Baitulmaqdis.


Menurut kajian ilmiah, bahawa bola bumi ini pada mulanya tenggelam di dalam air iaitu samudera yang sangat luas. Kemudian gunung api di dasar samudera ini meletus dengan keras dan mengirimkan lava dan magna dalam jumlah yang besar yang membentuk bukit.


Bukit itulah tempat Allah memerintahkan untuk menjadikan lantainya dari Kaabah (kiblat). Batu asal Mekah dibuktikan oleh kajian ilmiah sebagai batu paling purba di bumi.


Setelah itu Allah terus menerus memperluas dataran dari tempat ini. Jadi tempat ini merupakan tempat yang paling tertua di dunia. Nabi SAW bersabda maksudnya: "Kaabah itu adalah sistem tanah di atas air, dari tempat itu bumi ini diperluaskan".


Arah kiblat


Prof. Hussain Kamel, menemukan suatu fakta mengejutkan bahawa Makkah adalah pusat bumi. Pada mulanya ia meneliti suatu cara untuk menentukan arah kiblat di kota-kota besar di dunia.


Untuk tujuan itu, ia menarik garis-garis pada peta, dan setelah itu ia mengamati dengan saksama posisi ketujuh benua terhadap Mekah dan jarak masing-masing.


Ia memulai untuk menggambar garis-garis sejajar hanya untuk memudahkan projek garis bujur dan garis lintang. Ia kagum dengan apa yang ditemukan, bahawa Mekah merupakan pusat bumi atau dunia. (Majalah al-Arabiyyah, edisi 237, Ogos, 1978).


Gambar-gambar satelit yang muncul kemudian pada tahun 90-an menekankan hasil dan natijah yang sama, ketika kajian-kajian lebih lanjut mengarah kepada topografi lapisan-lapisan bumi dan geografi waktu daratan itu diciptakan.


Telah menjadi teori yang mampan secara ilmiah bahawa lempengan-lempengan bumi terbentuk selama masa geologi yang panjang, bergerak secara teratur di sekitar lempengan Arab. Lempengan-lempengan itu terus menerus memusat ke arah itu seolah-olah menunjuk ke arah Mekah.


Allah berfirman maksud-Nya: Demikianlah Kami wahyukan kepadamu al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memberi peringatan kepada Ummul Qura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri di sekelilingnya). (asy-Syura: 7).


Kata Ummul Qura bererti induk bagi kota-kota lain, dan kota-kota di sekelilingnya, menunjukkan Mekah adalah pusat bagi kota-kota lain, dan yang lain hanyalah berada di sekelilingnya.


Lebih dari itu, kata ummu (ibu) mempunyai erti yang cukup penting dan luas di dalam peradaban Islam. Sebagaimana seorang ibu adalah sumber dari keturunan, maka Mekah juga merupakan sumber dari semua negeri lain serta keunggulan di atas semua kota.


Ada beberapa ayat dan hadis nabawi yang memperkuatkan fakta ini. Allah berfirman maksud-nya: Wahai jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan (ilmu pengetahuan). (ar-Rahman: 33).


Berdasarkan ayat ini dan beberapa hadis dapat difahamkan bahawa diameter lapisan-lapisan langit itu di atas diameter bumi (tujuh lempengan bumi). Jika Mekah berada di tengah-tengah bumi, dengan itu bererti bahawa Mekah juga berada di tengah-tengah lapisan langit.


Selain itu ada hadis yang menerangkan bahawa Masjidil Haram di Mekah, tempat kaabah berada itu ada di tengah-tengah tujuh lapisan langit dan tujuh lapisan yang membentuk bumi.


Nabi SAW bersabda maksudnya: "Wahai orang-orang Mekah, wahai orang-orang Quraisy , sesungguhnya kamu berada di bawah pertengahan langit".


Berdasarkan kajian di atas, bahawa Mekah berada pada tengah-tengah bumi (pusat dunia), maka benar-benar diyakini bahawa Kota Suci Mekah, bukan Greenwich, yang seharusnya dijadikan rujukan waktu dunia.


Hal ini akan mengakhiri kontroversi yang timbul pada empat dekad yang lalu oleh kalangan Barat.


Ada banyak perdebatan ilmiah untuk membuktikan bahawa Mekah merupakan wilayah kosong bujur sangkar yang melalui kota suci tersebut. Jika waktu Mekah diterapkan, maka mudah bagi setiap orang mengetahui waktu solat.


Arah lawan jam


Dalam Islam, ketika seseorang sedang tawaf di sekitar kaabah, maka ia memulai dari Hajar Aswad, dan gerakannya harus berlawanan dengan arah jarum jam.


Hal itu adalah penting mengingat segala sesuatu di alam semesta dari atom hingga galaksi itu bergerak berlawanan dengan arah jarum jam.


Begitu juga peredaran darah manusia mulai gerakan berlawanan dengan arah jarum jamnya. Perputaran bumi pada porosnya dan di sekeliling matahari juga secara berlawanan dengan arah jarum jam.


Matahari dengan semua sistemnya mengelilingi suatu titik tertentu di dalam galaksi dan semuanya berputar berlawanan dengan arah jarum jam.


Sementara itu, jika dilihat orang-orang yang tawaf di sekeliling kaabah tidak putus-putus sepanjang masa mengelilingi kaabah, siang dan malam berterusan tidak henti-hentinya, sampai ke akhir zaman.


Ini membuktikan kota Mekah adalah kota suci tertua dan sebagai simbol tamadun peradaban umat manusia serta ibadah dan sebagai pusat bumi atau dunia seperti dirakamkan dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW.

Paderi peluk Islam di Rusia



ISLAM di benua sebesar Rusia masih diselubungi misteri bak kabus yang sangat tebal. Ini apabila jumlah sebenar mereka yang menganut Islam di benua itu tidak ada dalam data yang tepat dan terkini.


Pakar mengenai agama itu, The Russian Islamogist, Roman Silantvev berkata, terdapat khabar angin yang tersebar luas mengatakan sehingga kini terdapat hampir 20 juta penduduk Rusia merupakan penganut Islam.


"Ternyata khabar angin itu tidak realistik," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Rusia, Interfax dua tahun lalu.


Menurutnya, jumlah penduduk Islam mengikut etnik-etnik yang ada di benua itu dikatakan seramai 14.5 juta sahaja. Namun jumlah sebenar dikatakan kurang iaitu terdapat 7 hingga 9 juta orang sahaja yang beragama Islam.


"Satu lagi khabar angin popular yang juga tidak benar, yang mengatakan etnik Rusia terutamanya yang menganut Yahudi dan Kristian semakin ramai yang memeluk Islam pada hari ini.


"Sedangkan yang berlaku sejak 15 tahun lalu sehingga kini, dilaporkan hanya seramai 3,000 orang sahaja yang memeluk Islam, iaitu satu jumlah tidak memberikan makna dan signifikan yang besar," jelasnya.


Namun selepas dirujuk pada lama web ensiklopedia percuma di Internet Wikipedia, Islam dikatakan agama kedua yang paling ramai dianuti di Persekutuan Rusia. Dianggarkan kini terdapat seramai 20 juta penduduknya merupakan penganut Islam. Ia adalah pertambahan hampir 40 peratus sejak 15 tahun lalu dengan 6 juta dari mereka terdiri daripada penduduk asal yang beragama Islam.


Namun Silantvev perlu menerima hakikat sekalipun jumlah tidak menjanjikan signifikan tetapi bagaimana seorang yang bertaraf paderi besar dari gereja utama di negara itu akhirnya memeluk Islam?


Pada tahun 1999, berita pengislaman bekas Paderi Gereja Ortodoks Rusia, Viacheslav Sergeevich Polosin, 53, yang juga pengerusi jawatankuasa Committee of the Supreme Soviet on Freedom of Conscience bagaikan satu sinar yang memecahkan kabus itu.


Namun Polosin dituduh mengalami masalah psikologi akibat tekanan politik apabila dikatakan meninggalkan agama Kristian itu.


Jika Polosin menukar mazhab dari Ortodoks kepada Prostestan, mungkin masih boleh dimaafkan tetapi kini dengan nama baru iaitu Ali, bagaimana ini dapat diterima oleh masyarakat Kristian?


"Sedari kecil saya percaya mengenai kewujudan tuhan sehinggalah melanjutkan pelajaran ke universiti. Barulah saya mengenali mengenai agama iaitu Kristian diikuti mengunjungi gereja bagi saya mengenali lebih lanjut mengenai Kristian, sesuatu yang tidak saya temui ketika menghadiri kelas pengajian falsafah di universiti," katanya.


Perkara ini bukan sesuatu yang pelik apabila Rusia berkiblatkan komunisme sebagai dasar pemerintahan dan peraturan kehidupan. Perkara mengenai agama tentunya sesuatu yang sangat asing.


Walaupun segala ajaran mengenai Kristian boleh dipetik bagaikan di hujung jarinya, namun bekas paderi itu mengakui Islam merupakan jalan yang paling lurus (the straight path) menuju kebenaran.


"Dalam Kristian ’jalan lurus’ itu juga disebut beberapa kali dalam Kitab Perjanjian Lama.


"Dalam kitab itu diceritakan apabila Raja (King David) yang melalui jalan yang permukaannya berbatu-batu di daerah berbukit Palestin, maka pembantu baginda bertindak membersihkan jalan itu dan turut memastikan bahawa ’jalan itu lurus’.


"Ini diikuti nabi John the Forerunner yang mengajak semua supaya mengakui ketuhanan Jesus sebagai ’jalan yang lurus’ dengan meninggalkan kepercayaan karut yang dianuti sebelum ini," katanya.


’Jalan lurus’


Namun kata Polosin, ’jalan lurus’ menurut al-Quran adalah yang paling benar. Kehidupan manusia merupakan satu perjalanan lurus menuju kepada Allah tanpa perlu melalui mana-mana orang tengah atau wakil mahupun sebarang objek penyembahan.


"Nabi Isa sendiri dalam ajaran baginda yang sebenar mahukan manusia memalingkan muka mereka kepada satu-satunya Tuhan (to ’thou’, ’Abba, Father’) bukannya diri baginda sebagai tuhan seperti mana yang berlaku dalam ajaran itu kini," katanya.


Polosin mengakui bahawa memeluk Islam di sebuah negara seperti Rusia tidak dilihat sebagai satu perbuatan yang dapat diterima.


"Tetapi isunya kini, bukan sangat kerana memeluk satu ajaran baru tetapi satu pengakuan kepada satu ajaran kepada percaya tuhan yang satu secara lebih tegas. Kepercayaan saya kepada Tuhan tidak pernah berubah cuma menjadi lebih kuat, itu sahaja," ujarnya.


Untuk Polosin mengakui keesaan Allah merupakan hasil dari satu perjalanan yang cukup panjang beliau berusaha sedapat boleh untuk mengenali Islam dari apa juga aspek. Sedari soal ketuhanan sehinggalah kepada sosial, politik dan hari pembalasan.


"Saya mengkaji hampir kesemua penulisan buku terutama sejarah Kristian dan Islam dari ramai penulis termasuk ahli falsafah terkenal Perancis, Rene Genon yang turut memeluk Islam.


"Prosesnya cukup panjang kerana Islam bagi saya merupakan satu transisi atau peningkatan kepercayaan yang lebih berkualiti dan menjadi satu peringkat baru yang perlu saya lalui," kata Polosin yang turut menganggap perbincangan bersama seorang tokoh Islam Rusia, Murad Zargishiev memberikan pengaruh besar dalam hidupnya.


Ditanya sama ada bekas paderi itu kini sudah tidak mempercayai Nabi Isa sebagai Al Masih(penyelamat), Polosin menjelaskan bahawa beliau tetap mempercayai baginda.


"Nabi Isa sebagaimana yang dikisahkan dalam Perjanjian Lama (Injil) diterima sebagaimana diceritakan sedangkan ketepatan atau kebenaran mengenai teks Kitab itu sendiri tidak dapat ditentukan kesahihannya.


"Berbanding dengan al-Quran disebutkan baginda merupakan seorang nabi. Seorang yang benar dengan dikurniakan Allah dengan kebolehan yang ajaib dan adalah benar baginda seorang Penyelamat kerana itu baginda digelar Al Masih (Messiah)," katanya.


Nabi Isa


Polosin menjelaskan doktrin mengenai ketuhanan Nabi Isa hanya muncul pada abad ke-4 selepas Masihi (kelahiran Nabi Isa) dan dijadikan satu dogma agama yang rasmi pada abad ke 5 (SM). Namun, untuk beberapa abad sebelum itu penganut Kristian tidak pula mengakui bahawa Nabi Isa itu tuhan.


Hasil kajian mendalam, Polosin menyedari Islam bukanlah tunas baru yang lahir dari Kristian tetapi satu reformasi kedua yang paling hebat berlaku selepas agama nabi Ibrahim, Hanif.


"Nabi Isa pula membawa misi kebenaran bagi membersihkan amalan-amalan pagan yang dilakukan oleh kaumnya. Namun sesetengah pengikut tidak mahu mengikut baginda malah merancang untuk membunuhnya pula.


"Mereka ini yang kemudiannya melahirkan agama Yahudi menyebabkan Islam lahir bagi membawa seluruh manusia ke jalan yang benar dengan cara hidup berlandaskan al-Quran dan Sunnah Nabi," katanya.


Mengenai peralihan dari kepercayaan Trinity yang menjadi asas kuat kepada dogma ajaran Kristian Ortodoks, Polosin berkata, pengikut ajaran itu sebenarnya tidak mengetahui hakikat kewujudan Allah yang mereka sangkakan mesti dalam ’bentuk’ sesuatu.


"Mereka tidak mengetahui mengenai bentuk tuhan itu tetapi pengikut Kristian tanpa dapat membezakan antara yang benar dan salah, lalu mengambil seseorang sebagai bukti bahawa tuhan itu benar-benar ’wujud.’


"Sedangkan manusia tidak akan mampu menerima ’penjelmaan’ itu menyebabkan tuhan tidak lagi satu malah dua atau lebih yang tentunya bukan satu lambang kekuasaan dan keesaan-Nya," ujarnya yang mengkaji dari zaman Greek Lama mengenai penciptaan Kitab Perjanjian Lama dan langsung dibandingkan dengan isi kandungan al-Quran.


Beliau tidak menafikan sewaktu bergelar paderi besar itu berlaku pembersihan rohani yang menimbulkan terlalu banyak keraguan di dalam hati sehingga menyebabkan beliau memikirkan semula apa yang telah beliau ketahui dan lalui.


Pengakuan keislaman beliau diakui tidak dapat diterima oleh pelbagai pihak malah sebagai yang begitu ’alim’ dalam ajaran Kristian. Mungkinkah terdapat motif lain yang terselindung?


Isnin, 22 Jun 2009

Kitab Injil bawa Khadijah kepada Islam


Susunan ZUARIDA MOHYIN


KHADIJAH Emile, wanita warga Jordan yang berasal dari Palestin ini dilahirkan kira-kira 48 tahun lalu. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga Kristian dan pernah bekerja sebagai pengurus pejabat.


Menurut wanita ini kepada laman web IslamOnline.net, pegangan agama Kristiannya bertahan sehingga 15 Januari 2006 apabila, dia memeluk agama Islam, tiga tahun lalu.


Akui Khadijah lagi, dia membesar dalam sebuah keluarga yang tidak begitu komited dengan agama Kristian yang diwarisi turun temurun daripada nenek moyang mereka. Apatah lagi, bapanya berfahaman ateis. Malah bapanya juga tidak pernah mempengaruhi ahli keluarga yang lain untuk mengikutnya atau masuk campur dalam pilihan mereka.


Ibunya memang dilahirkan Kristian dan mewarisinya dari nenek moyang. Sekali gus ibu bertanggungjawab membesarkan dia adik-beradik dengan cara hidup Kristian.


Khadijah menerima pendidikan di sekolah yang dikendalikan oleh para biarawati. Oleh sebab itulah, mempelajari Kristian adalah wajib dan mereka terpaksa menghadiri perjumpaan pada setiap Ahad dengan dihadiri paderi serta perjumpaan khas pada Rabu untuk setiap pelajarnya.


Keluh Khadijah, dia tidak menyukai ritual dalam setiap perjumpaan kerana beranggapan tidak wujud perasaan yang menghubungkan dirinya dengan tuhan menerusi ritual-ritual tersebut. Namun dia berpura-pura menyukainya dengan keyakinan bahawa itulah satu-satunya cara atau peluang untuk merasai dekat dengan tuhan, satu cara untuk meluahkan rasa terima kasih dan merayu kepada-Nya.


Lantaran itu, jauh di sudut hatinya, Khadijah tidak berapa selesa dengan segala proses itu. Berkemungkinan kerana suasana dan kaedah ia dikendalikan di mana berlaku percampuran di antara lelaki dan perempuan malah perlu kepada orang tengah iaitu paderi yang khusus berkuasa untuk mengampunkan dosa.


Mengapa tidak boleh secara terus?, Kenapa perlu ada pihak ketiga? Apatah lagi orang ketiga itu juga adalah manusia sepertinya.


Menurut Khadijah, sejak kecil lagi mereka sekeluarga mempunyai seorang pembantu (amah) yang datang ke rumah membantu ibu membersih dan mengemas.


Dia seorang Muslim. Saya cukup tertarik apabila melihatnya bersembahyang. Saya dapat lihat keikhlasan dan kekhusyukan si amah, meskipun dia bersembahyang sendirian dan tidak di rumah ibadat.


"Saya pernah bertanyakan kepada amah itu, adakah dia rasa Allah dekat dengannya semasa bersembahyang? Jawabnya, "Ya, bila kita sembahyang, kita akan rasa kehadiran-Nya".


Jawapannya itu menyentuh jauh di sudut hati saya. Sejak itu, setiap kali berkumandang laungan azan, saya iri hati kepada orang Islam. Ini kerana memikirkan saat ini mereka sedang mendirikan sembahyang dan hampir dengan tuhan mereka.


"Pun begitu saya masih dengan agama Kristian sehinggalah pada usia awal 30-an, apabila saya mula menyertai parti komunis dan pada masa sama cuba meminggirkan agama. Ia secara tidak langsung, menjadikan saya berfahaman ateis. Namun saya tidak menolak kewujudan tuhan. Walau bagaimanapun, ia cukup jelas bahawa hubungan saya dengan tuhan sudah terputus dan hanya berlaku pada sambutan Hari Natal, Easter dan semasa menyertai majlis-majlis sosial," katanya.


Lama kelamaan, Khadijah bosan dengan hubungan yang sentiasa terputus-putus itu. Jadi dia membuat kesimpulan bahawa satu cara sahaja untuk mengatasinya iaitu ialah dengan membina semula hubungan dengan agama. Dia yakin dengan kaedah sebegini, akan menguatkan pertalian dengan tuhan.


"Peliknya, semakin saya mendekatkan diri dengan agama dan pengajarannya, saya dihantui dengan soalan-soalan seperti; Siapa itu Tuhan? Adakah dia Ayah, Anak atau Roh Kudus? Sedangkan Tuhan itu Satu. Bagaimana Tuhan itu ada anak dan anak itu pula adalah Dia dan mengapa pula tuhan perlukan anak untuk membuktikan dia tuhan?


"Mengapa sebagai seorang Kristian, saya perlukan Nabi Isa untuk berhubung dengan Allah? Jika Nabi Isa itu nabi dan dia juga manusia seperti saya, sungguhpun dia memiliki tahap kerohanian yang jauh lebih tinggi.


"Tetapi saya tidak perlukan Nabi Isa untuk menghubungkan saya dengan tuhan. Lagipun, Nabi Isa hanyalah pesuruh-Nya. Jadi kalau dia juga tuhan, bermakna saya kena menyembah dua orang tuhan? Ia sesuatu yang tidak masuk akal," akui Khadijah.


Sejak itu, Khadijah mula banyak membaca, lebih-lebih lagi dalam situasi tertekannya itu. Dia berusaha mendekati tuhan menerusi Kristian, agama yang diwarisi sejak dilahirkan.


Sayangnya, hatinya semakin bimbang dan fikirannya semakin berserabut, apa lagi apabila menyentuh aspek amalan dan ajarannya. Khadijah semakin sedar bahawa apa yang ada di dalam kitab Injil itu bukan daripada Allah.


Malah di dalam kitab itu juga banyak ditemui petunjuk bahawa Nabi Isa itu cuma seorang nabi yang diutus oleh Allah untuk menyempurnakan agama yang dibawa oleh nabi sebelumnya.


Contohnya dalam Matthew 18:11, John 12:49, Matthew 5:17, Mark 10:18, Mark 9:37, John 17:3 dan banyak lagi contoh di mana Nabi Isa tidak pernah mengakui bahawa dirinya itu Tuhan.


Jadi, dari mana datangnya idea tentang konsep Triniti, soal Khadijah. Semua persoalan ini membingungkan fikirannya bertahun-tahun lamanya. Sungguhpun pelbagai jawapan yang diberikan oleh paderi bertauliah, seperti ia adalah satu mukjizat, namun semuanya masih boleh disangkal dan dipersoalkan.


Dengan demikian, Khadijah mula membuat penyelidikan sehinggalah beliau mengetahui tentang debat yang bertajuk, Is the Bible the Word of God? oleh Ahmad Deedat, seorang penceramah dari Amerika Syarikat.


Banyak bukti yang diperjelaskan oleh penceramah itu menyedarkan Khadijah akan penyelewengan yang telah dilakukan ke atas kitab Injil. Maka sejak itu, hijrah akidah Khadijah pun bermula.


Serangan menjadi-jadi ke atas Islam merebak di arena antarabangsa, ia telah membantu Khadijah untuk lebih mendalami agama Islam. Umat Islam hanya mengakui bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah malah segala sesuatu itu hanyalah datang dari-Nya dan tiada suatu di dunia ini berkuasa menandingi kekuasaan Allah. Rukun ini menjadikan Islam itu agama yang realistik bagi Khadijah.


Menurut Khadijah, Islam adalah agama yang menyeru manusia menyembah Allah dan hanya kepada-Nya tempat meminta. Ini jelas membuktikan tiada perlu ada perantara di antara hamba dan Pencipta iaitu Allah SWT.


Akhirnya, naluri Khadijah merasai dirinya serasi dengan Islam tanpa sebarang penolakan malah minda dan hatinya tenang dengan Islam, seolah-olah dirinya dilahirkan sebagai Muslim.


Tanggungjawab melaksanakan solat itu perlu demi mendekatkan diri dengan Allah, malah dia melaksanakan puasa pada bulan Ramadan dan membaca keseluruhan al-Quran.


"Saya dapati diri ini benar-benar menerima Islam secara lahiriah dan batiniah. Akhirnya saya temui ketenangan dalaman. Saya mengucap dua kalimah syahadah pada sambutan Aidiladha iaitu pada 15 Januari 2006 dengan disaksikan dua teman baik Muslim.


"Sukar untuk digambarkan perasaan gembira ketika itu. Syukurlah saya telah diselamatkan di dunia dan di akhirat oleh Allah di mana telah memilih saya menjadi hamba-Nya," kata Khadijah yang mendirikan solat sunat kesyukuran sebaik bergelar Muslim.