Jumaat, 30 Januari 2009

Sikap bapa mudahkan pengislaman Azlan Su


Oleh ZUARIDA MOHYIN








http://www.utusan.com.my/pix/2008/0110/Utusan_Malaysia/Bicara_Agama/ba_02_big.jpg








KEAKRABAN hubungan yang terjalin dengan teman-teman Melayu serta kebebasan yang diberi oleh bapanya terutamanya dalam soal pemilihan agama, menjadikan penghijrahan akidah anak kelahiran Raub, Pahang, ini berjalan lancar tanpa berlaku sebarang perbalahan mahupun permusuhan.


Malah akui Pengurus Kumpulan F&B di Residence Hotel, Bangi, Selangor, Azlan Su, 40, menyedari dirinya seorang yang free thinker membuatkan keputusan bergelar Muslim tiada kaitan langsung dengan unsur paksaan atau ikutan semata-mata.


Beliau tertarik dengan Islam apabila mula keluar merantau untuk bekerja.


Pada masa itulah Azlan banyak bergaul dengan teman-teman yang majoritinya beragama Islam dan orang Melayu. Sepanjang perkenalan itu, beliau selesa dengan cara hidup mereka dan pengamalan budaya dalam masyarakat tersebut.


“Paling seronok bila menyambut bulan Ramadan dan tibanya Syawal. Apa tidaknya, memandangkan diri masih bujang, saya tidak melepaskan peluang meraikan hari kebesaran umat Islam dengan teman-teman beragama Islam. Melihat hubungan kekeluargaan mereka yang begitu mesra dan penuh kasih sayang, ia rupa-rupanya menjadi titik awal yang membawa kepada agama kepercayaan mereka iaitu Islam.


“Malah, ramai yang beranggapan saya memeluk Islam sebab hendak berkahwin dengan gadis Melayu. Sebenarnya, semua itu tidak betul. Saya akui selepas beberapa tahun mengucap kalimah syahadah, saya berkahwin tetapi saya mengenali dan mengakui kebenaran Islam lebih dahulu daripada tempoh tersebut,” cerita Azlan sewaktu ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.


Menurut anak kedua daripada empat adik-beradik ini lagi, beliau bersyukur kerana sentiasa menerima tunjuk ajar dan bimbingan tentang agama Islam daripada teman-teman sekerja. Alhamdulillah, pada 1990, Azlan akhirnya mengucap syahadah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).


Menurut Azlan, sikap bapanya yang begitu memahami serta memberi kebebasan kepadanya terutamanya dalam menentukan pegangan agama, mempermudahkan lagi jalan pengislaman.


Biarpun agak terkilan dengan keputusan anak lelakinya namun kebahagiaan anak-anak itu lebih penting, menyedarkan Azlan betapa bertuahnya beliau memiliki seorang bapa yang begitu memahami, berfikiran terbuka dan tidak mementingkan diri.


Azlan yang mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan, Noor Pariza Mohd. Salleh kini dikurniakan tiga cahaya mata dari usia enam hingga 13 tahun. Selepas berkahwin, akui Azlan kehidupan mereka sekeluarga amat mesra dan bahagia, sungguhpun berbeza agama.


“Saya tidak pernah menjadikan perbezaan agama sebagai alasan untuk memutuskan silaturahim. Malah anak-anak saya juga dibiasakan bergaul dengan emak dan bapa saudara serta sepupu-sepupu mereka.


“Cuma dalam bab akidah memang tidak ada kompromi tetapi dalam soal adat, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam, saya membenarkannya,” kata beliau.


Azlan juga selalu berpesan kepada kenalan saudara baru malah kepada golongan mualaf agar sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan kerana urusan berkaitan menjaga silaturahim amat diambil berat di dalam agama Islam.


“Malah, sewajarnya apabila kita sudah bergelar Muslim, tanggungjawab kebajikan kedua-dua ibu bapa seharusnya menjadi keutamaan.


“Bersikap baik kepada ibu bapa dan ahli keluarga kandung yang lain, bukannya merugikan tetapi sedikit sebanyak memberi gambaran jelas tentang kelebihan dalam agama Islam,” jelas Azlan yang tidak pernah rasa terbeban dengan kewajipan seorang Muslim seperti melaksanakan ibadat solat dan puasa pada awal pengislaman dahulu.


Hakikatnya, Azlan yang pernah muncul dalam program Hikmah terbitan TV1 beberapa tahun lalu bersyukur berkhidmat di tempat sekarang kerana lokasinya yang berhampiran dengan Masjid Uniten memudahkannya menunaikan tanggungjawab paling utama kepada setiap Muslim.


Azlan juga berterima kasih kepada isteri dan anak-anaknya kerana memahami kariernya yang banyak menghabiskan waktu di tempat bekerja berbanding bersama keluarga.


Pun begitu, peranan sebagai suami dan bapa tidak pernah diabaikan terutamanya yang menyentuh soal pendidikan agama kepada anak-anak.


“Tentu ramai yang memahami kesibukan mereka yang bekerja dalam bidang perhotelan namun setiap masa yang terluang dengan anak-anak saya akan pastikan ia mestilah berkualiti. Malah saya akan tunjukkan contoh tauladan yang baik kepada mereka.


“Semasa di pejabat, saya cuba tunjukkan kepada para pekerja akhlak seorang Muslim. Secara tidak langsung ia menjadikan saya seorang yang lebih baik dan berdisiplin, Insya-Allah,” ujar Azlan yang berharap para saudara baru tidak melupakan asal usul mereka meskipun sudah bergelar Muslim.

BICARA AGAMA


Leia gubah lagu bermesej ketuhanan


Oleh ZUARIDA MOHYIN








image001


Leia Az Zahra Justin Abdullah







SUNGGUHPUN gadis manis berkulit putih melepak kelahiran Sabah ini telah menghasilkan lagu-lagu semenjak berusia 15 tahun lagu, namun kehadiran single Mencari Yang Hilang adalah buah tangan penuh bermakna apatah lagi setelah bergelar Muslim.


Menurut Leia Az Zahra Justin Abdullah, 28 tahun, single barunya itu sebenarnya adalah luahan ikhlas beliau. Ia mengisahkan pengalaman kekosongan jiwanya sebelum menemui ketenangan di dalam Islam.


Beliau yang sebelum ini dikenali Farahdinah Justin Lusah adalah anak sulung kepada pasangan yang tidak asing lagi dalam dunia seni suara tanah air terutamanya di Sabah. Bapanya ialah penyanyi yang popular menerusi lagu Jambatan Tamparuli, Justin Lusah manakala ibunya, Clarice Boinsin ialah penyanyi popular di kalangan masyarakat Kadazan, Sabah.


Leia yang memiliki tubuh kecil molek ini pernah menganut Kristian Katolik menemui hidayah Ilahi selepas melalui pengalaman yang agak unik dan akhirnya melakukan pengislaman pada Oktober 2007 di Pejabat Agama Islam Sandakan, Sabah.


"Tidak pernah terlintas di fikiran apa lagi di hati untuk memeluk agama Islam sebelum ini. Islam bukanlah terlalu asing bagi saya kerana semenjak di bangku sekolah lagi saya mengetahui tentang Islam menerusi pergaulan dengan teman-teman.


"Pun begitu, boleh dikatakan apa sahaja yang berkaitan Islam, saya pandang negatif malah sehingga dikategorikan seorang yang anti Islam. Boleh dikatakan banyak masa saya dihabiskan dengan mengikuti aktiviti di gereja, tambahan pula sentiasa mendapat sokongan daripada nenek yang membesarkan saya selepas ibu bapa bercerai.


"Saya sudah ada misi saya sendiri sebagai penganut setia agama Kristian iaitu untuk menjadi biarawati. Untuk memastikan cita-cita ini menjadi kenyataan, saya sanggup mengikuti apa sahaja kursus yang diperlukan pihak gereja demi memenuhi kriteria tersebut," cerita Leia sewaktu berkunjung ke pejabat akhbar Utusan Malaysia sehari sebelum bercuti buat pertama kalinya untuk bertemu keluarga kandung selepas diri memeluk Islam.


Tambah komposer muda ini, yang bakal bernaung di bawah Hijjaz Records Sdn. Bhd. sebagai penyanyi nasyid apa yang menjadi titik perubahan kepadanya ialah selepas mendengar azan Subuh di dalam mimpi dan sebaik terjaga, kebetulan pula azan Subuh sedang berkumandang.


"Sebenarnya sebelum mengalami kejadian pelik itu, saya dalam situasi yang tidak keruan, sedih, serba salah, kecewa menguasai diri saya. Kepala saya berkecamuk memikirkan tentang Pencipta alam ini dan makhluk di muka bumi ini. Walaupun saya kuat dengan kepercayaan Kristian, namun jiwa saya tetap rasa kosong.


"Keresahan itu begitu membebankan fikiran dan menyesak perasaan. Saya menangis sehingga tertidur dan pada saat itulah saya bermimpi. Bila mendengarkan alunan azan itu, hati ini merasa tenang dan damai," akui Leia yang terus berusaha mencari seberapa banyak informasi mengenai Islam menerusi Internet dan berkunjung ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).


Berkongsi perasaan sebaik diri bergelar Muslim, akui Leia kini jiwanya semakin tenang dan bahagia malah dia sanggup berhadapan dengan segala kemungkinan apabila berhadapan dengan keluarga kelak. Pun begitu, jauh di sudut hati kecilnya, beliau berharap agar mereka menerimanya dengan hati dan fikiran terbuka.


Tambah Leia yang memiliki Diploma Sains Komputer dari Pusat Teknologi Pengurusan Lanjutan (PTPL) selepas menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur kira-kira enam tahun lalu, beliau tidak perrnah menyesal dengan keputusan untuk terjun ke dunia hiburan yang penuh cabaran. Baginya medium hiburan merupakan salah satu kaedah dalam menyampaikan dakwah.


"Menerusi lagu-lagu nasyid, kita tidak sahaja berpeluang untuk menyampaikan apa yang terbuku di dalam hati selain mencari hiburan secara positif tetapi pada masa yang sama, berpeluang untuk berdakwah menerusi mesej daripada lagu-lagu ciptaan saya kelak.


"Saya juga yakin dakwah melalui lagu mampu membantu mengurangkan salah faham segelintir bukan Islam tentang agama Islam yang syumul ini. Manalah tahu insya-Allah, lagu tersebut mampu membuatkan orang terbuka hati untuk kembali kepada kebenaran Ilahi," harap Leia yang juga berkebolehan mencipta serta menggubah lagu.


Leia bersyukur sungguhpun usia pengislaman beliau masih hijau, ia tidak menghalangnya untuk terus menimba seberapa banyak ilmu agama Islam dan paling menariknya, semua maklumat berguna itu akan dikongi bersama pendengar menerusi lagu-lagu gubahannya.


Beliau juga berterima kasih kepada pasangan Haji Haniff dan Hajah Puteh Kalsom kerana kesudian mereka mengambilnya sebagai anak angkat, di samping sentiasa memberi tunjuk ajar terutamanya dalam aspek pemantapan akidah. Perkenalan mereka bermula pada Disember tahun lalu, sewaktu Leia menyuarakan hasrat untuk mendapatkan bimbingan daripada Perkim berkaitan praktikal solat.

selamat mencuba post2blog

HARI INI DI SMK BANDAR BANTING

Menimba ilmu membuat blog...