Jumaat, 30 Januari 2009

Sikap bapa mudahkan pengislaman Azlan Su


Oleh ZUARIDA MOHYIN








http://www.utusan.com.my/pix/2008/0110/Utusan_Malaysia/Bicara_Agama/ba_02_big.jpg








KEAKRABAN hubungan yang terjalin dengan teman-teman Melayu serta kebebasan yang diberi oleh bapanya terutamanya dalam soal pemilihan agama, menjadikan penghijrahan akidah anak kelahiran Raub, Pahang, ini berjalan lancar tanpa berlaku sebarang perbalahan mahupun permusuhan.


Malah akui Pengurus Kumpulan F&B di Residence Hotel, Bangi, Selangor, Azlan Su, 40, menyedari dirinya seorang yang free thinker membuatkan keputusan bergelar Muslim tiada kaitan langsung dengan unsur paksaan atau ikutan semata-mata.


Beliau tertarik dengan Islam apabila mula keluar merantau untuk bekerja.


Pada masa itulah Azlan banyak bergaul dengan teman-teman yang majoritinya beragama Islam dan orang Melayu. Sepanjang perkenalan itu, beliau selesa dengan cara hidup mereka dan pengamalan budaya dalam masyarakat tersebut.


“Paling seronok bila menyambut bulan Ramadan dan tibanya Syawal. Apa tidaknya, memandangkan diri masih bujang, saya tidak melepaskan peluang meraikan hari kebesaran umat Islam dengan teman-teman beragama Islam. Melihat hubungan kekeluargaan mereka yang begitu mesra dan penuh kasih sayang, ia rupa-rupanya menjadi titik awal yang membawa kepada agama kepercayaan mereka iaitu Islam.


“Malah, ramai yang beranggapan saya memeluk Islam sebab hendak berkahwin dengan gadis Melayu. Sebenarnya, semua itu tidak betul. Saya akui selepas beberapa tahun mengucap kalimah syahadah, saya berkahwin tetapi saya mengenali dan mengakui kebenaran Islam lebih dahulu daripada tempoh tersebut,” cerita Azlan sewaktu ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.


Menurut anak kedua daripada empat adik-beradik ini lagi, beliau bersyukur kerana sentiasa menerima tunjuk ajar dan bimbingan tentang agama Islam daripada teman-teman sekerja. Alhamdulillah, pada 1990, Azlan akhirnya mengucap syahadah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).


Menurut Azlan, sikap bapanya yang begitu memahami serta memberi kebebasan kepadanya terutamanya dalam menentukan pegangan agama, mempermudahkan lagi jalan pengislaman.


Biarpun agak terkilan dengan keputusan anak lelakinya namun kebahagiaan anak-anak itu lebih penting, menyedarkan Azlan betapa bertuahnya beliau memiliki seorang bapa yang begitu memahami, berfikiran terbuka dan tidak mementingkan diri.


Azlan yang mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan, Noor Pariza Mohd. Salleh kini dikurniakan tiga cahaya mata dari usia enam hingga 13 tahun. Selepas berkahwin, akui Azlan kehidupan mereka sekeluarga amat mesra dan bahagia, sungguhpun berbeza agama.


“Saya tidak pernah menjadikan perbezaan agama sebagai alasan untuk memutuskan silaturahim. Malah anak-anak saya juga dibiasakan bergaul dengan emak dan bapa saudara serta sepupu-sepupu mereka.


“Cuma dalam bab akidah memang tidak ada kompromi tetapi dalam soal adat, selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam, saya membenarkannya,” kata beliau.


Azlan juga selalu berpesan kepada kenalan saudara baru malah kepada golongan mualaf agar sentiasa menjaga hubungan kekeluargaan kerana urusan berkaitan menjaga silaturahim amat diambil berat di dalam agama Islam.


“Malah, sewajarnya apabila kita sudah bergelar Muslim, tanggungjawab kebajikan kedua-dua ibu bapa seharusnya menjadi keutamaan.


“Bersikap baik kepada ibu bapa dan ahli keluarga kandung yang lain, bukannya merugikan tetapi sedikit sebanyak memberi gambaran jelas tentang kelebihan dalam agama Islam,” jelas Azlan yang tidak pernah rasa terbeban dengan kewajipan seorang Muslim seperti melaksanakan ibadat solat dan puasa pada awal pengislaman dahulu.


Hakikatnya, Azlan yang pernah muncul dalam program Hikmah terbitan TV1 beberapa tahun lalu bersyukur berkhidmat di tempat sekarang kerana lokasinya yang berhampiran dengan Masjid Uniten memudahkannya menunaikan tanggungjawab paling utama kepada setiap Muslim.


Azlan juga berterima kasih kepada isteri dan anak-anaknya kerana memahami kariernya yang banyak menghabiskan waktu di tempat bekerja berbanding bersama keluarga.


Pun begitu, peranan sebagai suami dan bapa tidak pernah diabaikan terutamanya yang menyentuh soal pendidikan agama kepada anak-anak.


“Tentu ramai yang memahami kesibukan mereka yang bekerja dalam bidang perhotelan namun setiap masa yang terluang dengan anak-anak saya akan pastikan ia mestilah berkualiti. Malah saya akan tunjukkan contoh tauladan yang baik kepada mereka.


“Semasa di pejabat, saya cuba tunjukkan kepada para pekerja akhlak seorang Muslim. Secara tidak langsung ia menjadikan saya seorang yang lebih baik dan berdisiplin, Insya-Allah,” ujar Azlan yang berharap para saudara baru tidak melupakan asal usul mereka meskipun sudah bergelar Muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan